Search This Blog

Thursday, September 15, 2016

Perjanjian Jual Beli Hartanah / Rumah – Dokumen untuk peguam Jual Beli


“Saya dah confirm nak beli rumah, kalau nak buat perjanjian jual beli rumah dan nak pakai peguam, apa yang saya kena buat?”

Apabila anda telah/akan melantik peguam pilihan anda untuk mengendalikan kes jual beli anda, perkara awal yang mesti anda lakukan ialah sediakan dokumen yang lengkap dengan kadar segera untuk rujukan pihak peguam anda. Berikut adalah dokumen-dokumen yang anda perlu sediakan supaya peguam anda dapat menjalankan tugas secepat mungkin dan supaya perjanjian jual beli anda dapat disiapkan dalam kadar segera:-

1- Salinan dokumen hakmilik Hartanah yang terlibat
*sekiranya ada hakmilik, kemukakan salinan Hakmilik terkini; atau
*sekiranya hartanah tanpa hakmilik (hakmilik individu atau strata BELUM dikeluarkan oleh pihak berkuasa) , kemukakan salinan perjanjian jual beli antara penjual dengan pihak pemaju dan antara penjual dengan pemilik terdahulu (sekiranya hartanah telah bertukar hakmilik lebih dari sekali)

2- Salinan kad pengenalan penjual dan pembeli
*sekiranya alamat surat menyurat berbeza dengan kad pengenalan, kemukakan juga alamat terkini kepada peguam

3- Salinan dokumen pinjaman antara penjual dengan bank terdahulu
*dokumen ini perlu dikemukakan sekiranya penjual masih mempunyai baki hutang dengan bank yang memegang cagaran atas hartanah yang terlibat. Contoh-contoh dokumen pinjaman ialah Perjanjian Pinjaman, Borang 16A & Lampirannya serta Deed of Assigment

4- Salinan Cukai tanah dan cukai pintu terkini bagi hartanah terlibat

5- Salinan Bil Bekalan Elektrik atau Bil Air untuk bulan yang terkini bagi hartanah yang terlibat
*Dokumen 4 dan 5 adalah bertujuan untuk pengesahan milikan hartanah oleh Penjual dan bagi memastikan tiada tunggakan oleh penjual untuk kesemua bayaran tersebut

6- Maklumat akaun lembaga hasil dalam negeri (No. Akaun & Cawangan) bagi penjual dan pembeli
*untuk tujuan penyediaan borang cukai keuntungan harta yang akan dilengkapkan oleh peguam yang mesti dihantar ke Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri mengikut cawangan akaun berdaftar penjual dalam tempoh 30 hari dari tarikh perjanjian jual beli

7- Salinan Hakmilik lain-lain Hartanah yang dimiliki oleh penjual beserta maklumat-maklumat yang diminta oleh pejabat tanah terlibat
* Dokumen ini diperlukan SEKIRANYA hartanah yang terlibat dalam jual beli adalah berstatus Pajakan / Leasehold dan mempunyai sekatan kepentingan

8- Salinan slip pendapatan Pembeli dan pengesahan dari majikan
*Dokumen ini diperlukan bersama-sama dokumen 7 SEKIRANYA hartanah yang terlibat merupakan hartanah kos rendah atau sederhana rendah


9- Maklumat dan dokumen tentang harga dan bayaran yang dipersetujui untuk jual beli
*Maklumkan peguam tentang bayaran dan cara bayaran yang dipersetujui antara pihak penjual dan pembeli seperti jumlah wang tempahan (Booking Fee), wang pendahuluan (Deposit) dan bayaran lain, sekiranya ada
*sertakan salinan Booking Form untuk peguam merujuk sebarang terma dan syarat di dalamnya untuk dikaitkan dengan perjanjian jual beli nanti 

Anda mungkin ingin tahu berapa lama baru perjanjian siap? Sekiranya semua dokumen tersebut telah diserahkan kepada pihak peguam anda, peguam akan serta merta membuat carian hartanah untuk mengetahui status dan maklumat terkini tentang hartanah terlibat dan anda boleh menjangkakan perjanjian jual beli siap untuk ditandatangani dalam tempoh antara 1 hingga 2 minggu dari tarikh maklumat dan dokumen lengkap diperolehi. 

Selain dari dokumen yang tidak lengkap, kelewatan biasanya boleh berlaku sekiranya pihak penjual dan pembeli tidak bersetuju atau ingin menambah terma dan syarat khas dalam perjanjian dan mengambil masa untuk bersetuju dengan kandungan perjanjian. Bagi hartanah yang tiada sebarang masalah (tiada kaveat, pajakan atau hakmilik lama yang terbatal), manakala dokumen juga lengkap dikemukakan pada peguam dan pihak-pihak bersetuju dengan syarat umum dalam perjanjian jual beli hartanah, perjanjian jual beli biasanya siap untuk ditandatangani dalam masa kurang dari 7 hari dari tarikh peguam menerima semua dokumen.

Kebanyakan dokumen yang diperlukan adalah dalam simpanan pihak penjual. Oleh itu, sekiranya anda merupakan pihak pembeli, pastikan anda telah mendapatkan salinan dokumen yang diperlukan dari Penjual untuk diserahkan kepada peguam anda. Dan sekiranya anda penjual, anda hendaklah membantu pembeli anda dengan menyediakan dokumen yang diperlukan dari pihak anda untuk diserahkan kepada peguam jual beli yang dilantik. Kelewatan menyediakan dokumen yang lengkap akan menyebabkan peguam tidak dapat membuat carian yang penting dan menyediakan perjanjian jual beli kerana maklumat tidak mencukupi. 

CARIAN HARTANAH? LAND SEARCH? PENTING KE?

Carian hartanah merupakan satu langkah PENTING DAN MUDAH yang boleh dilakukan apabila suatu perkara itu (tidak mengira apa-apa perjanjian...