Apa alasan biasa yang menjadi punca harta pusaka si mati tidak diuruskan?
1. Tanggapan : Simati baru meninggal dunia dan tidak wajar membangkitkan isu harta pusaka sehinggalah beberapa tahun selepas itu. Tuntutan awal menunjukkan seolah waris tidak menghormati si Mati.
Hakikatnya : Pengurusan harta peninggalan si mati adalah salah satu perkara yang dituntut untuk disegerakan sebaik sahaja jenazah dikebumikan. Waris bertanggungjawab membantu si mati membahagikan harta peninggalannya secepat mungkin.
2. Tanggapan : Waris bimbang tanggapan dari masyarakat sekeliling dan dilabel sebagai tamak sekiranya menuntut bahagian yang berhak untuknya
Hakikatnya : Dengan mendapatkan hak dan melaksanakan pembahagian harta si mati mengikut hukum, waris sebenarnya membantu si mati menyelesaikan urusan di dunia.
3. Tanggapan : Menunggu orang lain yang menguruskan dan tidak mahu mengambil tanggugjawab untuk membuat pengurusan dan pembahagian harta pusaka si mati.
Hakikatnya : Sesiapa sahaja dikalangan waris-waris si mati yang TERDEKAT dan yang sah (anak didahulukan, kemudian cucu dan sekiranya cucu tiada, cicit kepada simati) menggalas tanggungjawab yang sama untuk menguruskan harta pusaka si mati.
4. Tanggapan : Waris menunggu anak sulung (saudara yang paling tua) untuk menjadi wakil dan memulakan tindakan atau membuat pengurusan.
Hakikatnya : Tiada undang-undang tertentu yang mengatakan hanya waris yang paling tua boleh mewakili waris yang lain. Waris boleh menjadi wakil setelah dipersetujui oleh majoriti waris yang ada asalkan tindakan di mulakan untuk menguruskan harta si mati.
5. Tanggapan : Tiada wakil yang bersedia menguruskan pembahagian harta si mati atas sebab tiada pengetahuan dan kemahiran tentang proses dan dokumentasi.
Hakikatnya : Banyak rujukan tentang proses dan dokumentasi berhubung pengurusan pusaka boleh didapati dengan mudah tanpa perlu ke unit pentadbiran pusaka termasuklah di internet, radio & TV serta media sosial yang boleh membantu waris memulakan tindakan dan membuat pengurusan. Tiada alasan untuk lepas tangan.
6. Tanggapan : Wakil waris yang sepatutnya membahagikan segera harta simati bertindak melengahkan pembahagian atas sebab melindungi kepentingan peribadi. Contoh : tidak mahu berpindah keluar dari tanah pusaka sekiranya pembahagian telah dilakukan dengan waris-waris yang lain.
Hakikatnya : Waris perlu bertindak segera dan mengembalikan bahagian kepada yang berhak dari terus menikmati dan menggunakan hak orang lain (dosa yang berterusan akibat memakan hak orang lain secara batil)