Search This Blog

Thursday, April 2, 2020

CARIAN HARTANAH? LAND SEARCH? PENTING KE?


Carian hartanah merupakan satu langkah PENTING DAN MUDAH yang boleh dilakukan apabila suatu perkara itu (tidak mengira apa-apa perjanjian atau tuntutan) melibatkan hartanah sebagai subjek utama. Ini termasuklah sekiranya sesuatu perkara itu melibatkan perjanjian jual beli, perjanjian pajakan mahupun perjanjian pinjaman wang yang melibatkan hartanah sebagai cagaran dan lain-lain. Pentingnya carian hartanah ini dijalankan adalah untuk membantu mencegah kerugian yang mungkin dialami pada masa akan datang.

APA SEBENARNYA CARIAN HARTANAH?

Carian hartanah adalah satu sistem/proses yang membolehkan orang ramai menyemak daftar hak milik hartanah dan status terkini hartanah. Antara jenis carian yang boleh dibuat ialah carian rasmi (hakmilik berkuatkuasa/hakmilik tidak berkuatkuasa) dan carian persendirian (hakmilik berkuatkuasa/hakmilik tidak berkuatkuasa).

Proses untuk membuat carian hartanah adalah mudah.

Carian hartanah boleh dibuat di mana-mana Pejabat Tanah yang mempunyai bidang kuasa ke atas hartanah anda. Hanya dengan mengisi borang yang disediakan dengan maklumat yang dikehendaki dengan betul dan membuat bayaran, anda akan memperoleh carian hartanah yang betul. Tetapi perlu ditekankan bahawa, anda dikehendaki mengisi jenis hakmilik,mnombor hakmilik, nombor lot hartanah dan mukim yang betul untuk mengelakkan pembaziran. Elakkan sebarang kesalahan kecil seperti tertinggal satu nombor atau tersalah mengisi nombor yang akan mengakibatkan anda mendapat carian hartanah yang lain.

Carian hartanah tidak menelan belanja yang tinggi.

Bayaran fi untuk carian hartanah adalah sangat berbaloi untuk setiap maklumat hartanah yang anda peroleh. Setiap negeri mengenakan bayaran yang berbeza untuk carian hartanah ini. Sebagai contoh, bagi negeri Johor, carian persendirian hartanah akan dikenakan bayaran sebanyak RM40 untuk Cariah Persendirian Hartanah (Hakmilik Berkuatkuasa), RM60 untuk Carian Persendirian Hartanah (Hakmilik Tidak Berkuatkuasa). Untuk Carian Rasmi (Hakmilik Berkuatkuasa) bayaran yang akan dikenakan adalah RM120 dan RM150 untuk Carian Rasmi (Hakmilik Tidak  Berkuatkuasa). Untuk kawasan Kuala Lumpur dan Melaka carian hartanah boleh didapati dengan langkah yang sama dan bayaran sebanyak RM30 hingga RM50. Bayaran untuk Carian Rasmi lebih tinggi sedikit kerana ia dikira sebagai SIjil Carian Rasmi dan ada cop rasmi Pejabat Tanah. Ada Pejabat Tanah yang sudah mewujudkan sistem carian hartanah atas talian sebagai kemudahan.

KEPENTINGAN CARIAN HARTANAH

Secara ringkasnya:-

      1- Mengetahui maklumat mengenai pemilik berdaftar atas hartanah.
      
     Undang-undang tanah Malaysia di bawah Seksyen 340 Kanun Tanah Negara 1965 hanya mengiktiraf pemilik berdaftar di atas hartanah sebagai orang yang mempunyai kuasa ke atas hartanah. Perlu diingat, hanya orang yang mempunyai kuasa di atas hartanah boleh membuat urusan berkenaan hartanah. Pihak lain yang tiada namanya didaftarkan adalah tidak mempunyai kuasa kecuali pada keadaan tertentu seperti pemegang kuasa atau pentadbir harta.

2- Mengetahui maklumat dan status terkini hartanah.

Maklumat tanah merangkumi jenis dan nombor hakmilik, keluasan hartanah, jumlah cukai tanah yang perlu dibayar, sekatan atau syarat nyata atas hartanah dan juga status sama ada hartanah adalah Rizab Melayu atau pajakan atau pegangan selamanya. Dengan peredaran masa dan perubahan sistem, ada kemungkinan nombor atau maklumat yang ada pada geran lama sudah berubah dan hanya boleh diketahui setelah carian dijalankan.

      3-  Mengetahui maklumat yang tepat untuk sesuatu transaksi.

Ini merupakan matlamat utama carian hartanah dijalankan. Tanpa maklumat yang jelas, tiada ketepatan transaksi dapat dijanjikan. Keadaan ini terpakai kepada terutamanya peguamcara satu satu transaksi. Carian hartanah akan dijalankan terlebih dahulu sebelum meneruskan apa-apa urusan transaksi. Untuk peguamcara, carian hartanah adalah satu kemestian sekiranya urusan melibatkan hartanah sebagai subjek samaada subjek utama atau sampingan. Setiap transaksi yang pernah berlaku di atas hartanah tersebut akan direkodkan dan sangat membantu semasa penyediaan surat cara. Kekerapan untuk menjalankan carian hartanah bergantung pada keadaan urusan.

CONTOH SITUASI

Contoh situasi 1:-
A mahu membuat urusan perjanjian jual beli dengan B. B minta maklumat hartanah untuk buat carian hartanah tetapi A ragu-ragu untuk beri. Mungkin ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh A. Carian hartanah pada situasi ini akan membantu B sebelum meneruskan urusan jual beli.

Contoh situasi 2:-
Ada jual beli antara F dan G. Harga hartanah yang dijanjikan ialah RM100,000.00 dan G sudah membayar deposit sebanyak RM10,000.00 tanpa membuat sebarang carian. F memberi jaminan bahawa tiada sebarang sekatan pada hartanah. Apabila urusan pindahmilik tidak dapat dijalankan dengan sempurna, carian dijalankan dan G hanya tahu bahawa ada kaveat yang didaftarkan di atas hartanah. Hal ini sudah merumitkan keadaan. Sekiranya carian dijalankan sebelum deposit diberikan, masalah boleh dielakkan.

Contoh situasi 3:-
H memberkan pinjaman wang kepada K. K meberikan geran tanah sebagai cagaran.  Carian hartanah boleh dijalankan untuk memastikan hartanah yang dicagarkan mempunyai nilai. Hal ini disebabkan oleh K sebenarnya boleh membuat laporan polis mengatakan bahawa gerannya hilang dan mendapatkan geran baru walhal gerannya sebenarnya dicagarkan kepada H.

Kesimpulannya, carian hartanah memberikan manfaat kepada pihak yang membuatnya. Jangan lalai dan ragu-ragu untuk membuat carian hartanah sekiranya anda ada urusan yang mana hartanah merupakan subjek utama. Bukan sekadar itu, pihak yang sudah namanya didaftarkan juga perlu menjalankan carian hartanah untuk menegtahui status tanah anda yang terkini.

CARIAN HARTANAH? LAND SEARCH? PENTING KE?

Carian hartanah merupakan satu langkah PENTING DAN MUDAH yang boleh dilakukan apabila suatu perkara itu (tidak mengira apa-apa perjanjian...