Carian hartanah merupakan satu
langkah PENTING DAN MUDAH yang boleh dilakukan apabila suatu perkara itu
(tidak mengira apa-apa perjanjian atau tuntutan) melibatkan hartanah sebagai
subjek utama. Ini termasuklah sekiranya sesuatu perkara itu melibatkan
perjanjian jual beli, perjanjian pajakan mahupun perjanjian pinjaman wang yang
melibatkan hartanah sebagai cagaran dan lain-lain. Pentingnya carian hartanah ini
dijalankan adalah untuk membantu mencegah kerugian yang mungkin dialami pada
masa akan datang.
APA SEBENARNYA CARIAN
HARTANAH?
Carian hartanah adalah satu
sistem/proses yang membolehkan orang ramai menyemak daftar hak milik hartanah
dan status terkini hartanah. Antara jenis carian yang boleh dibuat ialah carian
rasmi (hakmilik berkuatkuasa/hakmilik tidak berkuatkuasa) dan carian
persendirian (hakmilik berkuatkuasa/hakmilik tidak berkuatkuasa).
Proses untuk membuat carian
hartanah adalah mudah.
Carian hartanah boleh dibuat di
mana-mana Pejabat Tanah yang mempunyai bidang kuasa ke atas hartanah anda. Hanya
dengan mengisi borang yang disediakan dengan maklumat yang dikehendaki dengan
betul dan membuat bayaran, anda akan memperoleh carian hartanah yang betul.
Tetapi perlu ditekankan bahawa, anda dikehendaki mengisi jenis hakmilik,mnombor
hakmilik, nombor lot hartanah dan mukim yang betul untuk mengelakkan
pembaziran. Elakkan sebarang kesalahan kecil seperti tertinggal satu nombor atau
tersalah mengisi nombor yang akan mengakibatkan anda mendapat carian hartanah
yang lain.
Carian hartanah tidak menelan
belanja yang tinggi.
Bayaran fi untuk carian hartanah
adalah sangat berbaloi untuk setiap maklumat hartanah yang anda peroleh. Setiap
negeri mengenakan bayaran yang berbeza untuk carian hartanah ini. Sebagai
contoh, bagi negeri Johor, carian persendirian hartanah akan dikenakan bayaran
sebanyak RM40 untuk Cariah Persendirian Hartanah (Hakmilik Berkuatkuasa), RM60
untuk Carian Persendirian Hartanah (Hakmilik Tidak Berkuatkuasa). Untuk Carian
Rasmi (Hakmilik Berkuatkuasa) bayaran yang akan dikenakan adalah RM120 dan
RM150 untuk Carian Rasmi (Hakmilik Tidak
Berkuatkuasa). Untuk kawasan Kuala Lumpur dan Melaka carian hartanah
boleh didapati dengan langkah yang sama dan bayaran sebanyak RM30 hingga RM50. Bayaran
untuk Carian Rasmi lebih tinggi sedikit kerana ia dikira sebagai SIjil Carian
Rasmi dan ada cop rasmi Pejabat Tanah. Ada Pejabat Tanah yang sudah mewujudkan
sistem carian hartanah atas talian sebagai kemudahan.
KEPENTINGAN CARIAN HARTANAH
Secara ringkasnya:-
1- Mengetahui maklumat
mengenai pemilik berdaftar atas hartanah.
Undang-undang
tanah Malaysia di bawah Seksyen 340 Kanun Tanah Negara 1965 hanya mengiktiraf
pemilik berdaftar di atas hartanah sebagai orang yang mempunyai kuasa ke atas
hartanah. Perlu diingat, hanya orang yang mempunyai kuasa di atas hartanah
boleh membuat urusan berkenaan hartanah. Pihak lain yang tiada namanya
didaftarkan adalah tidak mempunyai kuasa kecuali pada keadaan tertentu seperti
pemegang kuasa atau pentadbir harta.
2- Mengetahui maklumat dan status terkini hartanah.
Maklumat tanah
merangkumi jenis dan nombor hakmilik, keluasan hartanah, jumlah cukai tanah yang
perlu dibayar, sekatan atau syarat nyata atas hartanah dan juga status sama ada
hartanah adalah Rizab Melayu atau pajakan atau pegangan selamanya. Dengan peredaran
masa dan perubahan sistem, ada kemungkinan nombor atau maklumat yang ada pada
geran lama sudah berubah dan hanya boleh diketahui setelah carian dijalankan.
3- Mengetahui maklumat yang tepat untuk sesuatu transaksi.
Ini merupakan
matlamat utama carian hartanah dijalankan. Tanpa maklumat yang jelas, tiada
ketepatan transaksi dapat dijanjikan. Keadaan ini terpakai kepada terutamanya peguamcara
satu satu transaksi. Carian hartanah akan dijalankan terlebih dahulu sebelum
meneruskan apa-apa urusan transaksi. Untuk peguamcara, carian hartanah adalah
satu kemestian sekiranya urusan melibatkan hartanah sebagai subjek samaada
subjek utama atau sampingan. Setiap transaksi yang pernah berlaku di atas
hartanah tersebut akan direkodkan dan sangat membantu semasa penyediaan surat
cara. Kekerapan untuk menjalankan carian hartanah bergantung pada keadaan
urusan.
CONTOH SITUASI
Contoh situasi 1:-
A mahu membuat urusan perjanjian
jual beli dengan B. B minta maklumat hartanah untuk buat carian hartanah tetapi
A ragu-ragu untuk beri. Mungkin ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh A.
Carian hartanah pada situasi ini akan membantu B sebelum meneruskan urusan jual
beli.
Contoh situasi 2:-
Ada jual beli antara F dan G.
Harga hartanah yang dijanjikan ialah RM100,000.00 dan G sudah membayar deposit
sebanyak RM10,000.00 tanpa membuat sebarang carian. F memberi jaminan bahawa tiada
sebarang sekatan pada hartanah. Apabila urusan pindahmilik tidak dapat
dijalankan dengan sempurna, carian dijalankan dan G hanya tahu bahawa ada
kaveat yang didaftarkan di atas hartanah. Hal ini sudah merumitkan keadaan.
Sekiranya carian dijalankan sebelum deposit diberikan, masalah boleh dielakkan.
Contoh situasi 3:-
H memberkan pinjaman wang kepada
K. K meberikan geran tanah sebagai cagaran.
Carian hartanah boleh dijalankan untuk memastikan hartanah yang
dicagarkan mempunyai nilai. Hal ini disebabkan oleh K sebenarnya boleh membuat
laporan polis mengatakan bahawa gerannya hilang dan mendapatkan geran baru
walhal gerannya sebenarnya dicagarkan kepada H.
Kesimpulannya, carian hartanah
memberikan manfaat kepada pihak yang membuatnya. Jangan lalai dan ragu-ragu
untuk membuat carian hartanah sekiranya anda ada urusan yang mana hartanah
merupakan subjek utama. Bukan sekadar itu, pihak yang sudah namanya didaftarkan
juga perlu menjalankan carian hartanah untuk menegtahui status tanah anda yang
terkini.