Search This Blog

Friday, August 10, 2018

TUNTUTAN HARTA PUSAKA - SUKAR BERBINCANG

SUSAH UNTUK BERBINCANG KALAU MELIBATKAN HARTA PUSAKA

Seringkali kami mendengar dari waris, rasa tidak puas hati. Ada yang datang dengan kemusykilan boleh kah tindakan diambil sekiranya urusan pusaka tak dapat dijalankan, ataupun dijalankan dengan tidak betul? 

Mengapa selepas timbul masalah dan selepas pembahagian, ada pihak yang tidak setuju dengan penyelesaian? Kami selalu menerima alasan bahawa, tiada perbincangan dibuat dahulu atau sentiasa ada masalah kalau hendak berbincang, maka urusan pusaka tak dapat dibuat dengan lancar dan betul.

Kenapa banyak masalah dalam nak buat keputusan berkenaan pembahagian harta pusaka atau menentukan Hak waris dalam harta pusaka?

Antara sebab biasa:-

1) Tak ada kesedaran tentang undang-undang, peraturan dan hukum yang terlibat. 
2) Bila waris tak pasti atau tak tahu, tak pula buat rujukan pada pihak yang lebih arif. 
3) Pilih untuk tepikan undang-undang dan hukum tanpa persetujuan sepakat dari semua.
4) Perbincangan tak dibuat dengan BETUL.


Menyentuh sebab (4) diatas, ramai tidak sedar atau mengabaikan kemestian mesyuarat dan perbincangan serius semua waris. Malah ada yang tidak mahu bekerjasama.


Untuk mengelakkan rasa tidak puas hati, ungkit mengungkit dan masalah yang lebih besar di kemudian hari disini kami kongsi sedikit peringatan tentang PERKARA YANG PATUT DIPERTIMBANGKAN mengenai mesyuarat dalam menguruskan Harta Pusaka :-

i) Mesyuarat mesti melibatkan SEMUA waris yang hak

ii) Mesyuarat dibuat untuk mencari penyelesaian dan keputusan BETUL dan ADIL untuk semua, bukan yang mudah dan menguntungkan satu-satu pihak

iii) Dalam mesyuarat dan membuat keputusan, letakkan keadilan dari segi undang-undang dan hukum agama di depan, dan kepentingan diri sendiri di belakang

iv) Waris mesti jelas tentang cadangan atau keputusan, elakkan sebarang bentuk manipulasi atau penipuan fakta ats apa sebab sekalipun

v) Dalam mesyuarat, cadangan boleh jadi "cadangan saya" atau 'cadangan kami" tetapi diakhir mesyuarat, keputusan mesyuarat adalah keputusan "KITA" (semua)

vi) Berhati-hati dalam perbincangan "tepi" atau 'tidak rasmi' kerana mesyuarat sebelum mesyuarat, boleh jadi khianat dan mesyuarat selepas mesyuarat boleh jadi Fitnah.

Friday, June 1, 2018

Bersegera bukan tamak tetapi bijak!



MUDAH YANG BANYAK BILA MENYEGERAKAN PENGURUSAN HARTA PUSAKA 

Apakah hadiah terbaik yang boleh kita berikan kepada orang yang kita sayang?

Bagaimana pula sekiranya yang disayangi itu telah meninggalkan kita di dunia ini?

Pernah kah anda dengar bahawa hadiah terbaik yang kita boleh beri pada orang yang kita sayang adalah doa yang baik. Tapi bukan semua orang mampu melakukan perkara yang kedengaran mudah itu. 

Ahli keluarga yang ditinggalkan sebenarnya mempunyai tanggungjawab untuk membantu si mati menguruskan dan menyegerakan pembahagian harta dunia peninggalan si mati kerana mereka adalah waris yang berkenaan. Siapakah yang dikatakan waris-waris yang berkenaan? Ianya dalah saudara terdekat si mati seperti anak kandung, adik beradik atau cucu dan cicit sekiranya anak si mati telah meninggal dunia.

Untuk si mati yang telah meninggal dunia, hadiah terbaik yang boleh anda berikan adalah doa dan juga ketenangan (setelah segala urusan dunia selesai)



Tahukah anda bahawa bila pengurusan harta si mati dilakukan SEGERA anda bukan sahaja membantu simati tetapi terdapat banyak faedah lain yang datang dengan tindakan segera tersebut?

Di sini kami kongsikan pengalaman mengendalikan kes pusaka yang bersegera berbanding yang telah lama bertangguh.

1. Penyediaan dokumen yang mudah

Jika kami tanya anda dimanakah resit perbelanjaan air minuman yang anda bayar tadi berbanding dengan resit pembayaran makanan yang anda makan di kedai 2 minggu lepas, yang mana akan anda ingat tempat letaknya? Tentu saja yang baru dibayar sebentar tadi bukan?

Bagaimana pula dengan kebiasaan si mati menjalankan tugas harian dan menyimpan barang atau dokumennya? Adakah anda akan ingat lagi di mana ibu atau bapa anda menyimpan barang-barang berharga nya atau dokumen yang dirasakan banyak nostalgia baginya, katakan selepas 5 tahun mereka meninggal dunia? Sekiranya dalam tempoh seminggu dari tarikh kematian anda belum pasti dimana letaknya, adakah anda akan lebih mudah mencarinya selepas beberapa tahun akan datang? Tentu sahaja tidak.

Dalam keadaan si mati baru sahaja meninggal, ianya adalah lebih mudah untuk anda mengumpulkan atau mencari dokumen mengenai harta & hutang simati seperti sijil kematian yang baru sahaja diterima dari Jabatan Pendaftaran Negara, geran hartanah & kenderaan, buku simpanan wang, barang kemas dan lain-lain lagi. Apabila keadaan masih baru adalah lebih mudah untuk anda mendapatkan kerjasama ahli keluara mengumpulkan dan menyediakan dokumen yang diperlukan.


2. Mendapat kerjasama dari waris yang lain

Tidak dinafikan masih ada segelintir masyarakat yang kurang faham tentang penting menyegerakan tugas ini dan mungkin ada yang rasa tersinggung atau marah atas alasan isu ini sensitif dan tidak wajar gelojoh untuk diselesaikan. Namun hakikat sebenar semaki ramai yang cerdik dan berilmu serta sedar tuntutan menyegerakan proses ini. 

Sekiranya anda bertemu dengan saudara dan waris lain serta mengajak mereka berbincang isu yang baharu lagi berlaku, tentunya mereka masih ingat apa-apa terma dan syarat/pesanan yang terlibat dan membantu melancarkan pembahagian harta. Kebiasaan yang menjadi masalah adalah kes yang telah bertangguh bertahun-tahun dan menjadi sejuk/basi serta banyak pertikaian lain yang timbul akibat lupa, ada waris yang telah meninggal tanpa mendapat hak dan sebagainya.

Oleh yang demikian, sekiranya anda menyegerakan pengurusan pusaka, lebih mudah menjelaskan dan mendapat kerjasama kepada waris yang terlibat kerana masing-masing masih peka dengan kehilangan si mati dan urusan yang timbul selepas itu.


3.  MEMBERIKAN HAK KEPADA YANG BERHAK

Apabila pembahagian dilakukan segera, semua waris yang berhak akan mendapat bahagian masing-masing. Harta yang diterima boleh dimanfaatkan dengan segera berbanding dibiarkan "terperam" atau tersangkut tanpa dapat diusahakan atau dibahagikan. Selagi harta yang tinggal terletak atas nama si mati, kebiasaannya waris akan mengalami kesukaran untuk membahagikan ataupun mengusahakan. Samada masing-masing berebut untuk mendapat hasil ataupun terus lepas tangan dari sebarang tindakan. 

Pembahagian dengan segera bukan sahaja membolehkan waris mendapat manfaat dari bahagian masing-masing malah si mati insyaAllah akan mendapat ketenangan atas pemberian hak kepada yang berhak.


4. TIDAK BERLAKU KESILAPAN TERMAKAN HAK ORANG LAIN KERANA BERTANGGUH

Samada anda sengaja atau tidak, membiarkan harta yang ditinggalkan si mati tidak dibahagikan atau diuruskan secara betul, ianya tetap akan mendatangkan salah satu dari kesan ini:-

i) Hak tidak dapat diberi kepada yang berhak; dan/atau
ii) manfaat atas harta dinikmati oleh orang yang tidak berhak

Bagi situasi (ii) sekiranya dilakukan dengan sengaja, sesungguhnya anda telah mengambil sesuatu secara bathil. Dan samada penangguhan waris menyebabkan situasi (i) atau (ii), kedua-duanya adalah salah.

Maka dengan bersegera menguruskan dan membahagikan harta si mati, anda dapat mengelakkan terambil hak orang dan juga elak dari menganiaya orang yang tidak menerima hak yang sepatunya.



Dengan 4 kebaikan dan faedah yang diperjelaskan diatas, seharusnya kita sudah boleh melihat bahawa bersegera dalam menguruskan dan membahagikan harta pusaka akan banyak memudahkan prosesnya berbanding penangguhan yang akan mendatangkan banyak masalah, salah faham dan barangkali dosa atas kesilapan dan kelalaian kita.

Justeru, kami menggalakkan anda segera menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka ahli keluarga anda sebaik sahaja arwah pergi meninggalkan anda. Ini mungkin bukti yang anda memang sayangkan mereka yang telah pergi .

TONTON VIDEO UNTUK PENJELASAN



2.       

Tuesday, May 29, 2018

BERTANGGUH ITU PENCURI MASA (HARTA)


Apa alasan biasa yang menjadi punca harta pusaka si mati tidak diuruskan?

1.  Tanggapan : Simati baru meninggal dunia dan tidak wajar membangkitkan isu harta pusaka sehinggalah beberapa tahun selepas itu. Tuntutan awal menunjukkan seolah waris tidak menghormati si Mati.

Hakikatnya : Pengurusan harta peninggalan si mati adalah salah satu perkara yang dituntut untuk disegerakan sebaik sahaja jenazah dikebumikan. Waris bertanggungjawab membantu si mati membahagikan harta peninggalannya secepat mungkin. 



2.   Tanggapan : Waris bimbang tanggapan dari masyarakat sekeliling dan dilabel sebagai tamak sekiranya menuntut bahagian yang berhak untuknya

Hakikatnya : Dengan mendapatkan hak dan melaksanakan pembahagian harta si mati mengikut hukum, waris sebenarnya membantu si mati menyelesaikan urusan di dunia.



3.   Tanggapan : Menunggu orang lain yang menguruskan dan tidak mahu mengambil tanggugjawab untuk membuat pengurusan dan pembahagian harta pusaka si mati.

Hakikatnya : Sesiapa sahaja dikalangan waris-waris si mati yang TERDEKAT dan yang sah (anak didahulukan, kemudian cucu dan sekiranya cucu tiada, cicit kepada simati) menggalas tanggungjawab yang sama untuk menguruskan harta pusaka si mati.



4.   Tanggapan : Waris menunggu anak sulung (saudara yang paling tua) untuk menjadi wakil dan memulakan tindakan atau membuat pengurusan.

Hakikatnya : Tiada undang-undang tertentu yang mengatakan hanya waris yang paling tua boleh mewakili waris yang lain. Waris boleh menjadi wakil setelah dipersetujui oleh majoriti waris yang ada asalkan tindakan di mulakan untuk menguruskan harta si mati.



5.   Tanggapan : Tiada wakil yang bersedia menguruskan pembahagian harta si mati atas sebab tiada pengetahuan dan kemahiran tentang proses dan dokumentasi.

Hakikatnya : Banyak rujukan tentang proses dan dokumentasi berhubung pengurusan pusaka boleh didapati dengan mudah tanpa perlu ke unit pentadbiran pusaka termasuklah di internet, radio & TV serta media sosial yang boleh membantu waris memulakan tindakan dan membuat pengurusan. Tiada alasan untuk lepas tangan.



6.  Tanggapan : Wakil waris yang sepatutnya membahagikan segera harta simati bertindak melengahkan pembahagian atas sebab melindungi kepentingan peribadi. Contoh : tidak mahu berpindah keluar dari tanah pusaka sekiranya pembahagian telah dilakukan dengan waris-waris yang lain.

Hakikatnya : Waris perlu bertindak segera dan mengembalikan bahagian kepada yang berhak dari terus menikmati dan menggunakan hak orang lain (dosa yang berterusan akibat memakan hak orang lain secara batil)





Tuesday, March 6, 2018

Dokumen-Dokumen untuk membuat permohonan pentadbiran pusaka

Sambungan untuk langkah ke (3) post sebelum ini:-

Apakah dokumen-dokumen yang waris-waris simati perlu sediakan untuk permohonan pentadbiran harta pusaka simati?

1) Sijil kematian (asal dan salinan) simati

2) Salinan kad pengenalan Waris-Waris simati

3) Salinan dokumen berhubung pertalian simati dengan Waris-Waris yang menuntut iaitu 
-Sijil kelahiran semua anak-anak si mati
-Sijil nikah (untuk isteri simati)
-Sijil kelahiran simati (bagi Ibu bapa simati)

4) Dokumen hakmilik harta-harta si mati (asal dan Salinan) termasuk:-
-hakmilik (geran) Hartanah
-geran kenderaan
-buku atau penyata akaun simpanan

-Sijil Salam pelaburan dan lain-

Semoga sedikit sebanyak dapat membantu anda memulakan tindakan untuk segera bertindak menguruskan harta pusaka peninggalan orang-orang tersayang yang telah meninggal kan anda.


Wednesday, February 28, 2018

Bila si mati meninggalkan harta..

Apa yang patut Waris-Waris si mati perlu buat selepas simati meninggal dunia:-

1) Tentukan samada simati ADA meninggal kan sebarang harta yang berdaftar di bawah namanya sebagai pemilik

2) Sekiranya ada, segera bermesyuarat dan melantik salah seorang Waris sahaja sebagai wakil iaitu pentadbir untuk menguruskan permohonan pengurusan harta pusaka simati ATAU untuk mewakili Waris-Waris lain berurusan dengan peguam

3) Sediakan semua dokumen yang di perlukan untuk segera membuat permohonan di unit pusaka yang terdekat. Pastikan yang Asal ada dalam simpanan (sila rujuk post selepas ini tentang dokumen apa yang perlu disediakan)

4) Dapat kan borang Petisyen (Borang A) di pejabat pusaka daerah atau download dari laman web pejabat pusaka untuk di isi oleh pentadbir (wakil waris-waris)


Bertindak lah segera untuk kebaikan simati dan semua.

Friday, February 9, 2018

KAWAN MENIPU KAWAN

#realcasestudy
Biasa sangat mendengar pelanggan mengeluh tak dapat menuntut hak yang sepatutnya berpunca daripada “percayakan kawan”. Bila sesuatu JANJI diterima dari seseorang individu tanpa ada apa-apa “jaminan” yang ianya akan dilaksanakan. Tiada Apa-apa perjanjian. Apa orang kata tu? Pakai modal air liur je.
Terbaru, seorang hamba Allah datang mendapatkan nasihat untuk membersihkan status BANKRAP yang ditanggungnya.


Beberapa tahun lepas beliau telah memberikan rakan kongsi perniagaannya satu ketika dahulu menggunakan identiti (nama) beliau untuk membeli kenderaan. Segala dokumen pinjaman dan urusan antara kedai kereta dan bank, semua beliau yang tandatangan. Yang enjoy pakai kereta, rakan tersebut dan ahli keluarganya. Bila satu ketika rakan kongsi tersebut gagal tak bayar ansuran berterusan (dan beliau pun tak diberitahu), kereta dirampas untuk dilelong. Walaupun dah lelong, kos masih tak dapat tampung keseluruhan baki hutang pinjaman lalu beliau pula disaman oleh bank untuk langsaikan baki. Akibat beliau enggan bayar, beliau dibankrap kan. Sehingga kini urusan perniagaan dan kehidupan beliau yang lain terganggu disebabkan status bankrap tersebut.
Sudah tentu ada jalan nak clear kan status bankrap tersebut. Dan beliau sebenarnya mampu. Tapi kenapa beliau enggan bayar sebelum ni? Kenapa beliau enggan bayar masa disaman?

Alasan beliau:

1) kereta tersebut tidak digunapakai langsung oleh beliau. Tumpang pun tak pernah!
2) rakan kongsi telah berjanji mulut untuk nak tanggung semua dan serius bayar hutang kalau beliau bagi “pinjam nama” untuk buat pinjaman nak beli kereta tersebut

“kenapa saya yang kena bayar sedangkan bukan saya yang nak kereta tersebut? Dan saya tak pernah guna langsung! Partner saya dulu tu dah jumpa banyak kali tanya,buat tak tau je. Macam tak bersalah”
Beliau tersepit dalam keadaan ni sebab TIADA PERJANJIAN bertulis antara beliau dan bekas rakan kongsi. Dan kesilapan yang paling besar ialah memberikan identiti beliau sebagai peminjam dan pengguna kenderaan tersebut atas dasar “PERCAYA KAN KAWAN”
Ini lah yang orang kata Susu yang kita bagi, tuba yang dibalas. Kita bagi bunga, dia baling taik!
“atas dasar percaya” 

atau
“saya percaya sebab dia kawan/adik beradik/bapa mertua saya” even kalau suami isteri dan ...... pun jangan suka-suka percaya hal macam ni kalau melibatkan kerugian duit di masa akan datang.
“Percaya” semata tak boleh pakai lagi kalau tak ada hitam putih. Sebaiknya kalau sayangkan perhubungan itu, janganlah gunakan langsung nama orang lain untuk kepentingan kita. Jangan benar kan orang guna nama kita atas sebab kita percaya/sayang dia sebagai kawan atau keluarga sekalipun.

Banyak cara lain nak tolong atau jadi hero tapi bukan dengan hulur tangan kemudian terjun sendiri dalam gaung untuk kawan kita naik ke tebing.
Apa jadi kat rakan kongsi beliau tu ketika ni?

Tak de apa-apa. Tenang dan senang (di dunia). Rileks je brader tu.
Mungkin dia kata “ada aku kisah?”.

Moral of the story, identiti kita bukan untuk kegunaan orang lain.

Dan janji manis sampai langit ketujuh pun tak guna kalau tak ada rekod/perjanjian.
Mana-mana yang dah buat kebajikan bagi kawan guna nama atau jadi penjamin tu, mungkin ada jalan lagi untuk tuntut hak anda.

Thursday, February 8, 2018

KENAPA NAK TUNGGU LAMA-LAMA?

Alhamdulillah, baru-baru ni selesai perbicaraan kes pusaka untuk sebuah keluarga dimana hartanah nya di Segamat. Syukur semuanya lancar dan waris dapat perintah pembahagian seperti dipohon.
Tertarik untuk kami share perkongsian Tuan Hakim tentang kebanyakan kes pusaka yang tak dapat atau lambat untuk selesai BERPUNCA daripada waris bertangguh-tangguh untuk buat pentadbiran. Bila terlalu lama harta yang ditinggalkan oleh simati dibiarkan, waris asal yang ada turut sama pergi meninggalkan dunia. Kemudian waris baru anak cucu cicit datang dan pergi. Tuan Hakim perlu berhati-hati dalam nak meluluskan atau menolak cara pembahagian harta apabila kes melibatkan waris yang ramai (berlapis-lapis kerana anak bahkan cucu tuan punya harta turut sama SUDAH meninggal dunia). Ada kes waris yang tak hadir dikatakan sudah meninggal kemudian "hidup semula" dan datang membuat tuntutan untuk mencabar pembahagian yang diputuskan mahkamah. Kes ini terjadi bila waris-waris yang hadir berpakat menipu waris yang hidup dikatakan tiada atau meninggal dunia. Ada juga waris yang tidak dijumpai, atau yang meninggal tak dapat pengesahan/bukti kematian. 
Tuan Hakim juga pernah mendengar kes pembahagian harta satu orang dimana waris yang hadir lebih dari 200 orang akibat dah terlalu lama tiada tindakan permohonan perintah pembahagian dibuat (difailkan). Bagaimana lah sesuatu kes pengurusan pusaka tu nak jadi mudah kalau waris nya sendiri tak memberi kerjasama dan bertangguh sehingga waris tersebut sendiri meninggal kemudian anak dan cucu juga masih tak membuat tindakan?
Memetik kata-kata tuan hakim, "kalau kat batu pahat, kluang semua lagi hebat. Kes yang arwahnya meninggal zaman jepun pun ada. Zaman sebelum merdeka pun ada. Macamana nak sahkan semua waris dan hak masing-masing? Siapa yang pening?"
Bagi orang Islam yang sudah ada hukum dan tahu kesalahan melewat-lewatkan atau salah pentadbiran harta yang diberikan Allah semasa hidup, ambil lah pengajaran. Jangan seksa mereka yang dah tiada dengan kelalaian kita ATAU tidak endah urusan pembahagian harta dan hak waris yang dituntut syariat. Semakin lama bertangguh, semakin rumit nanti untuk menentukan dan nak membahagikan hak pada yang sepatutnya.
Bila yang tersayang meninggal dan ada meninggal kan harta, kenapa kita anak-anak, adik beradik atau keluarga terdekat tak bertindak untuk tolong arwah selesaikan? Betulkah yang kita tak ambil peduli tu benar-benar tidak termasuk dalam urusan atau tanggungjawab kita? Atau esok di sana kita turut akan dipersoal sama? Sampai bila?
Sampai bila nak biar?
Sampai bila nak "nanti dulu"?
JANGAN TUNGGU LAMA-LAMA.

CARIAN HARTANAH? LAND SEARCH? PENTING KE?

Carian hartanah merupakan satu langkah PENTING DAN MUDAH yang boleh dilakukan apabila suatu perkara itu (tidak mengira apa-apa perjanjian...